
KELANTAN – Program Membina Generasi Solat (MGS) kini sedang berlangsung dengan jayanya di seluruh negeri Kelantan. Kelas-kelas MGS telah mula beroperasi di setiap jajahan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut jadual yang telah ditetapkan. Program ini merupakan agenda teras Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan dalam usaha melahirkan generasi yang mencintai, memahami dan menghayati ibadah solat sejak usia muda.
Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama erat Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, para Pengelola Halaqat Kawasan, Mudarris, Guru Al-Quran, jawatankuasa masjid dan surau serta ibu bapa dalam memastikan setiap sesi pembelajaran berjalan dengan teratur dan berkesan. Kelas-kelas MGS diadakan di masjid dan surau bagi mendekatkan anak-anak dengan rumah Allah serta membiasakan mereka dengan suasana ibadah.
Sepanjang sesi pembelajaran, para peserta didedahkan dengan modul yang menekankan kefahaman dan amali solat, bacaan, wuduk, adab di masjid serta pembentukan akhlak mulia. Pendekatan yang sistematik dan interaktif membantu peserta memahami kepentingan solat sebagai tiang agama serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Sambutan yang diterima daripada ibu bapa dan masyarakat setempat amat memberangsangkan. Kehadiran peserta di kebanyakan lokasi menunjukkan komitmen tinggi masyarakat dalam menyokong usaha kerajaan negeri dan Bahagian Dakwah Halaqat untuk membentuk generasi yang berilmu, beriman dan beramal.
Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Membina Generasi Solat (MGS), khususnya para Mudarris, Guru Al-Quran, jawatankuasa masjid dan surau, sukarelawan serta ibu bapa yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan padu.
Diharapkan Program Membina Generasi Solat akan terus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang menjadikan solat sebagai asas kehidupan, seterusnya melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin serta istiqamah mengimarahkan masjid dan surau di seluruh Negeri Kelantan.
