IJTIMA’ & LAWATAN TADBIR URUS BAHAGIAN DAKWAH HALAQAT NEGERI KELANTAN PERKUKUH GERAK KERJA HALAQAT KUALA KRAI

KUALA KRAI, 10 Jun 2026 – Halaqat Kuala Krai telah menerima kunjungan Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan menerusi program Ijtima’ & Lawatan Tadbir Urus yang berlangsung di Pejabat Agama Kuala Krai dan Pejabat Halaqat Kuala Krai. Program tersebut bertujuan memperkukuh sistem tadbir urus pejabat, menyelaras gerak kerja dakwah serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga Halaqat.

Delegasi diketuai oleh Al-Fadhil Dr. Mohd. Alwee Yusoff, Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, bersama Timbalan Ketua Pengelola 1, Ustaz Mohd. Fakerei Mohd. Muhayyidin, Timbalan Ketua Pengelola 2, Ustazah Raziah Zainal Karip, pegawai-pegawai Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, Pembantu Pegawai Dakwah Halaqat serta guru-guru al-Quran terpilih dari empat DUN dalam Parlimen Kuala Krai, iaitu Mengkebang, Guchil, Manek Urai dan Dabong.

Program ini menjadi platform untuk menambah baik struktur tadbir urus Pejabat Halaqat Kuala Krai di samping menyuntik semangat baharu kepada para pegawai, pembantu pegawai dakwah dan guru-guru al-Quran dalam melaksanakan amanah dakwah secara lebih tersusun, sistematik dan berkesan.

Slot Ijtima’ yang menghimpunkan pimpinan negeri bersama para pendakwah di lapangan memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman, bertukar pandangan serta menyelaras hala tuju dakwah agar lebih dekat dengan masyarakat dan mampu memenuhi keperluan semasa.

Dalam pembentangannya, Pengarah Yayasan Tok Kenali, Al-Fadhil Ustaz Zulqarnain Hassan, menekankan enam prinsip utama dakwah berkesan, iaitu mengutamakan qudwah sebelum berdakwah, menjinak sebelum memperkenalkan, memperkenalkan sebelum menegaskan, memudahkan tanpa menyusahkan, mendahulukan targhib sebelum tarhib serta berguru dengan guru yang berautoriti (tidak bergurukan kitab/ buku semata-mata).

Sementara itu, sesi lawatan tadbir urus memberi fokus kepada pemantapan sistem pengurusan pejabat, penyusunan fail, pengurusan rekod dan pelaporan aktiviti yang lebih sistematik serta efisien bagi memastikan pengoperasian Halaqat terus memenuhi standard pengurusan yang ditetapkan.

Selaku tuan rumah, Pengelola Dakwah Halaqat Kawasan Kuala Krai, Al-Fadhil Ustaz Haji Abd. Kadir Yasim, berharap seluruh pegawai, pembantu pegawai dakwah serta guru-guru al-Quran dan Fardu Ain di kawasan Kuala Krai terus memberikan komitmen tinggi terhadap setiap program yang dianjurkan oleh Halaqat Negeri dan Halaqat Kawasan. Beliau turut menyeru agar ukhuwah, kerjasama serta kualiti penyampaian dakwah terus diperkasakan demi melahirkan masyarakat yang lebih berilmu dan berakhlak.

 

 

 

Kongsikan ke:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp