GUA MUSANG, 15 April 2026 (Rabu) – Satu sesi Usrah Mingguan anjuran Bahagian Dakwah Halaqat Gua Musang telah berjaya dilaksanakan di Pejabat Halaqat Gua Musang dengan penyertaan yang memberangsangkan daripada para ahli.
Program ini diadakan bagi memperkukuh kefahaman ilmu Islam di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta usrah. Ia menjadi platform penting dalam membina jati diri muslim yang berilmu, berdisiplin serta konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah di peringkat masyarakat.
Sesi usrah kali ini disampaikan oleh Pengelola Gua Musang, Ustaz Zul Azhan bin Zulkefli, yang menekankan kepentingan istiqamah dalam menuntut ilmu serta peranan setiap ahli dalam menghidupkan budaya dakwah secara berterusan. Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan organisasi dakwah bermula daripada kesungguhan individu dalam memahami dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Suasana semasa usrah
Sepanjang sesi berlangsung, pegawai dan pembantu halaqat turut terlibat dalam perbincangan untuk meningkatkan lagi isu-isu semasa berkaitan pengurusan dakwah, penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian serta cabaran mendepani masyarakat moden. Pendekatan interaktif ini menjadikan sesi usrah lebih berkesan dan mudah difahami.
Penganjuran usrah mingguan ini membuktikan komitmen berterusan Bahagian Dakwah Halaqat Gua Musang dalam melahirkan tenaga penggerak dakwah yang berwibawa dan berakhlak mulia. Usaha ini diharapkan dapat terus menyemarakkan gerakan dakwah di peringkat akar umbi.
