Pasir Puteh, 17 Januari 2026 – Program Israk dan Mikraj anjuran Dakwah Halaqat Pasir Puteh dengan kerjasama Masjid Mukim Padang Pak Amat telah berlangsung dengan jayanya pada malam tadi bersempena 27 Rejab 1447H, dengan kehadiran dianggarkan seramai 500 orang jemaah dari sekitar Pasir Puteh dan kawasan berdekatan.
Program yang bermula selepas solat Maghrib dan berakhir sekitar jam 9.30 malam itu bertujuan menghayati peristiwa agung Israk dan Mikraj serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap tuntutan ibadah dan pembinaan sahsiah diri.
Majlis ilmu tersebut menampilkan dua tokoh panel berwibawa iaitu YB Dato’ Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin bin Tuan Ismail dan Ustaz Mohd Fadhli bin Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Penyelidikan JAHEAIK. Perbincangan ilmiah yang sarat dengan pengisian rohani itu telah dikendalikan oleh Ustaz Mohd Nazry bin Mohd Nor, selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Ihsan Kelantan, yang bertindak sebagai moderator.
Dalam sesi forum, para panel mengupas peristiwa Israk dan Mikraj dari sudut akidah, ibadah dan pengajaran kontemporari, khususnya berkaitan kepentingan solat sebagai tiang agama serta peranan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut, serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memperkukuh kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat setempat.

