MAJLIS KHATAM AL QURAN KAWASAN MACHANG 2026M/1448H

MACHANG, 21 NOVEMBER 2026 (SABTU) – Bahagian Dakwah Halaqat Parlimen Machang telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bagi tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Pembangunan Insan (KPI), Kampung Cherodok, dengan penyertaan seramai 200 orang peserta.

Majlis yang menghimpunkan para peserta daripada program pengajian Al-Quran di bawah kelolaan Bahagian Dakwah Halaqat ini merupakan salah satu usaha berterusan dalam menyemarakkan budaya membaca Al-Quran serta membina masyarakat yang sentiasa mendampingi dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Penganjuran majlis ini bukan sekadar menjadi medan meraikan para peserta yang telah berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran, malah turut menjadi platform untuk mengiktiraf kesungguhan, komitmen dan usaha para pelajar serta guru Al-Quran dalam memastikan kelangsungan pendidikan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Azhar bin Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong. Turut hadir ialah Ustaz Mohd Fakerei bin Mahayiddin, Timbalan Pengelola I Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan, yang turut bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.

 

Dalam masa yang sama, penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan komitmen Bahagian Dakwah Halaqat dalam memperkukuh gerakan pendidikan Al-Quran di peringkat akar umbi. Usaha ini juga selari dengan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja mampu membaca Al-Quran dengan baik, bahkan berusaha memahami, menghayati dan mengamalkan tuntutan yang terkandung di dalamnya.

Kejayaan menghimpunkan seramai 200 orang peserta pada tahun ini turut memperlihatkan sambutan dan penglibatan masyarakat terhadap program pengajian Al-Quran yang dilaksanakan. Ia sekali gus menjadi dorongan kepada seluruh warga Halaqat, khususnya para guru Al-Quran, untuk terus memainkan peranan dalam membimbing dan mendidik masyarakat agar tidak menjadikan pembelajaran Al-Quran sebagai suatu amalan bermusim, sebaliknya sebagai tuntutan yang berterusan sepanjang hayat.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama serta sokongan dalam menjayakan majlis ini, khususnya kepada pihak perasmi, tetamu jemputan, para guru Al-Quran, peserta dan seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program.

Semoga Majlis Khatam Al-Quran ini menjadi titik tolak kepada usaha yang lebih besar dalam menyemarakkan syiar Al-Quran serta melahirkan generasi yang mencintai Al-Quran, berilmu dan beramal dengannya.

Al-Quran Dibaca, Dihayati dan Diamalkan.

Kongsikan ke: