KUALA KRAI, 17 Jun 2026 – Program Membina Generasi Solat (MGS) Peringkat Parlimen Kuala Krai telah dirasmikan secara berperingkat di empat Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Mengkebang, Guchil, Manek Urai dan Dabong. Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang diurusetiakan oleh Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan ini merupakan usaha berterusan dalam melahirkan generasi muda yang berpegang teguh kepada syariat Islam serta menjadikan solat sebagai asas pembentukan sahsiah.
Majlis perasmian program itu berlangsung secara berasingan mengikut DUN bermula di DUN Mengkebang pada 9 Jun, diikuti DUN Guchil pada 10 Jun, DUN Dabong pada 11 Jun dan berakhir di DUN Manek Urai pada 17 Jun.

Perasmian bagi setiap DUN telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Zubir bin Abu Bakar (ADUN Mengkebang), YB Hilmi bin Abdullah (ADUN Guchil), YB Mohd Fauzi bin Abdullah (ADUN Manek Urai) dan YB Ku Zaki bin Ku Husain (ADUN Dabong).

Program MGS dirangka khusus bagi memberi motivasi serta bimbingan secara teori dan praktikal kepada remaja dan pelajar mengenai kewajipan menunaikan solat fardu lima waktu secara sempurna, istiqamah dan penuh penghayatan. Melalui pendekatan yang menyeluruh, peserta bukan sahaja didedahkan dengan ilmu berkaitan ibadah solat, malah dibimbing untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Menurut Pengelola Dakwah Halaqat Kuala Krai merangkap Penyelaras MGS Peringkat Kawasan Kuala Krai, Al-Fadhil Ustaz Haji Abd Kadir Yasim, solat merupakan benteng utama yang mampu membentuk peribadi unggul serta melindungi generasi muda daripada pengaruh gejala sosial.
“Kita mahu anak-anak muda di setiap DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Krai ini membesar dengan asas kerohanian yang kukuh. Apabila solat fardu lima waktu sudah terjaga, insya-Allah aspek kehidupan yang lain lebih terjamin dan dipermudahkan,” ujar beliau.
Sambutan terhadap program ini amat memberangsangkan apabila kebanyakan kelas MGS di setiap DUN berjaya merekodkan penyertaan melebihi sasaran minimum, iaitu sekurang-kurangnya 25 orang peserta bagi setiap kelas.
Program yang berlangsung dari pertengahan Jun hingga Ogos 2026 ini diharapkan terus menjadi platform pembangunan rohani dan pembentukan modal insan, sekali gus memperkukuh penghayatan solat dalam kalangan generasi muda serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang berakhlak mulia dan berteraskan nilai-nilai Islam.
