MAJLIS APRESIASI PROGRAM KECEMERLANGAN SOLAT PERINGKAT NEGERI KELANTAN TAHUN 1446H/2024M

Majlis Apresiasi anjuran Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan telah diadakan pada 9 November 2024 bertempat di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darul Naim. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Ustaz Mohd Asri Bin Mat Daud (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan), turut hadir bersama YB Nik Asma’ Baharum Bin Nik Abdullah (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan), YABrs Dr Hasnan Bin Haji Ramli (Pengarah JAHEAIK) bersama dengan jabatan/agensi yang turut membantu menjayakan majlis ini.

Majlis ini diadakan sebagai satu tanda penghargaan kepada rakyat Kelantan yang menjayakan Program Membina Generasi Solat. Program tahunan yang dilaksanakan bermula dari cetusan idea Al-Marhum Tan Sri Dato Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Majlis ini juga bertujuan memberi penganugerahan kepada peserta-peserta terbaik Program Membina Generasi Solat peringkat Negeri Kelantan, serta pemenang-pemenang Pertandingan Tilawah, Hafazan, Azan dan Pidato Peringkat Negeri Kelantan.

Dengan penganjuran majlis ini diharapkan ia dapat memberi impak positif kepada hadirin dari segi aspek kesedaran dan membakar semangat rakyat Negeri Kelantan supaya terus meningkatkan mutu dan kualiti ibadat terutamanya Solat.

Diharapkan Program Membina Generasi Solat yang dirancang dan dilaksanakan pada setiap tahun mendapat sambutan hangat dari seluruh rakyat Negeri Kelantan seterusnya dapat melahirkan Generasi Rabbani yang unggul dan berjaya dari peringkat tempatan hingga ke peringkat global.

Kongsikan ke:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp